MENU

 Muzium Sungai Lembing

 

Muzium perlombongan ini dikendalikan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti bertujuan untuk menyebarkan maklumat serta mempamerkan khazanah-khazanah sejarah yang terdapat di sungai lembing dan di Negeri Pahang secara am nya. Kunjungan para pelawat ke sini pastinya akan disajikan dengan pengetahuan yang menarik berkenaan dengan lombong bijih timah bawah tanah yang pernah suatu ketika dulu diiktiraf sebagai antara lombong bijih timah yang terbesar dan terdalam di dunia.

 

Air Terjun Pelangi

 

Air terjun Pelangi terkenal dengan kecantikannya. Ia berada dekat dengan Sungai Lembing. Pelancong akan dapat melihat pelangi yang cantik di sebalik air terjun hanya pada waktu pagi. Pengangkutan / kenderaan 4WD ada disediakan bagi memudahkan pelancong untuk mengelilingi bandar kecil yang menarik lagi mencabar.

 

Bukit Panorama

Bukit Panorama adalah salah satu pusat rekreasi yang terdapat di Sungai Lembing. Di sini, pelbagai aktiviti rekreasi boleh dilakukan oleh orang awam antaranya meredah hutan dan sebagainya. Keistimewaan bukit ini ialah pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbit dan suasana matahari terbenam. Bukit Panorama mempunyai ketinggian 291 meter tinggi di atas paras laut. Bukit Panorama sangat popular dengan pelawatnya tidak putus putus datang pada hujung minggu untuk menikmati pemandangan mempesonakan seperti matahari terbit dan suasana yang hijau sekitar bukit.

 

Gunung Tapis

 

Gunung Tapis adalah gunung ke-18 tertinggi di Semenanjung pada ketinggian 4, 957 kaki. Terdapat sebuah taman yang dijaga rapi di sekitar Gunung Tapis yang turut mempunyai kawasan perkhemahan, air panas, cabaran air putih di sungai yang deras, mencari ikan besar serta terdapat banyak ikan kelah.

Pemandangan dari atas Gunung Tapis sangat mempersonakan. Anda akan dapat melihat lautan awan putih yang mengaburkan pandangan kawasan tanah pamah. Pada hari yang cerah anda boleh melihat Gunung Tahan pada jarak yang jauh. Suhu di puncak antara 18 hingga 8 darjah Celsius.

 

Penternakan Rusa

 

Ladang ini terletak kira-kira 50 km dari bandar Kuantan dan 5 km dari bandar kecil Sungai Lembing dengan melalui Kampung Kuala Kenau. Ladang ini terletak 3 km dari Perkampungan Mas Sungai orang asli dan 9 km dari jalan utama ke Kuantan. Ladang ini dibangunkan dan diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri. Ladang ini dibuka pada tahun 1992.Jenis baka rusa yang dipelihara di sini terdiri daripada ‘cerrus timorensis'  juga terdapat rusa yang dipelihara berasal dari Mauritius dan Australia.

 

Jambatan Gantung

Terdapat empat  jambatan gantung merentasi Sungai di Sungai Kenau, Sungai Lembing. Di bahagian utara terdapat dua jambatan gantung yang terletak di perkampungan Kampung Kuala Kenau dan Takar Rapids. Di bahagian selatan pula terletak di perkampungan Seberang Kolong Pahat. Umur empat jambatan gantung tersebut adalah lebih daripada 100 Tahun. Penggantungan jambatan tertua adalah jambatan gantung di Kampung Kolong Pahat.

 

Tugu (Monumen)

Tugu ini dibina dalam tempoh penjajahan Jepun di Sungai Lembing. Ia terletak berhampiran taman permainan kanak-kanak Sungai Lembing. Tugu ini adalah salah satu tugu untuk memperingati orang-orang yang mempertahankan negara semasa perang menentang Jepun. Tugu ini menjadi tarikan kepada pelancong yang datang ke Sungai Lembing.